Sunday, June 14, 2009

::Tazkiyatu al-nafsi::

Medan dakwah merupakan satu lapangan yang luas selari dengan objek dakwah yang dibawa oleh para rasul iaitu agama Islam. Justeru itu para duat selaku juru dakwah mempunyai tugas dan tanggungjawab yang besar dalam rangka menyalur dan menyampaikan risalah dakwah dengan lebih terarah dan terencana. Oleh itu pemahaman yang mendalam dan mendasar mengenai “Fiqh Dakwah” adalah perlu agar penyebarluasan risalah ini mencapai tahap yang maksimum.

PEMAHAMAN FIQH DAKWAH

Fiqh dakwah merupakan cantuman dua rangkaikata iaitu Fiqh dan Dakwah. Setiap kalimah mempunyai maknanya tersendiri.

FIQH : Mengetahui (tahu) dan memahami (faham).
DAKWAH : Seruan kepada sesuatu iaitu galakkan melakukan sesuatu.

Dakwah ilallah : Seruan kepada beriman kepada Allah Taala dan beriman dengan apa yang dibawa oleh para rasul dengan membenarkan segala perkhabaran yang dibawa, patuh dan tunduk dengan segala titah perintah Allah Taala dan meninggalkan segala larangannya, justeru agama Islam merupakan agama penamat, syumul dan lengkap.
Ini bermakna dakwah ilallah ialah seruan untuk tunduk dan patuh kepada agama Islam secara keseluruhannya (total). Meyakini Islam adalah agama yang benar, yang dibawa oleh junjungan besar nabi Muhammad s.a.w yang diwahyukan oleh Allah Taala sebagaimana firmanNya :
(Surah Fussilat : 43) Maksudnya : Yang tidak datang kepadanya (Al Quran) kebatilan baik dari depan dan belakangnya, yang diturunkan dari Allah yang maha bijaksana lagi maha terpuji.


KEWAJIPAN MENYAMPAIKAN DAKWAH

Sesungguhnya kewajipan menyampaikan dakwah Islamiah merupakan satu tuntutan secara syar’ie. Kewajipan ini tertanggung di atas bahu umat Islam tidak mengira tua atau muda, lelaku mahupun perempuan, kecil atau besar, samada pemerintah atau rakyat jelata secara khususiah atau umum. Tuntutan ini mesti direalisasikan mengikut kadar keupayaan diri, berdasarkan kemampuan tenaga dan darjah kemantapan iman serta rasa sensitiviti terhadap realiti umat Islam di samping iklim persekitaran masyarakat yang dilingkunginya.